Seruan buat Si Belangkas


.

Menyorot dahsyatnya mitos cinta meracuni pemikiran generasi muda hari ini, pelbagai maksiat menular di sana-sini. Pemuda meratah dara sesuka hati. Gadis hilang harga diri. Anak pungut merata-riti. Ah, sekotor inikah cinta anak muda? Tidak!

Cinta itu tidak kotor bahkan suci sekudus embun pagi. Tangan manusialah yang mengotorinya. Aduhai pemuda-pemudi yang sedang hangat bercinta! Bukankah Allah menyediakan jalan halal buat menyuburkan cinta yang sedang mekar antaramu dengan si dia? Kenapa tidak nikah saja? Boleh khalwat lama-lama.

“Ingat nikah tu senang?!” Mungkin ini persoalannya. Mungkin ini yang membelenggu pemikiran anak muda yang sedang bercinta. Samada jawapannya senang atau susah, setiap pasangan yang sudah jatuh hati perlu ada niat untuk memilih jalan halal lagi diberkati ini. Niat yang bersih berperanan mengawal diri agar terhindar dari lembah zina terkutuk dan segala perkara yang menghampirinya. Apa yang dinamakan cinta lelaki dan perempuan asing hanya boleh dinikmati selepas berumah-tangga. Ingat tu!

Kunasihatkan diriku jua dirimu hai muda-mudi, Dalam urusan jodoh, apapun keputusan buatlah sebagaimana yang dianjurkan oleh syarak dengan jalan istikharah dan musyawarah (berbincang) . Andai di sana nampak keserasian, usah terlalu fikirkan masalah, berfikirlah dengan optimis. Ambil langkah yang diizinkan Allah seterusnya iaitu dengan berkhitbah (bertunang) dan saling setia pada janji syarak yang di bina.

Awas! Hindari segala perkara yang menghampiri zina lagi tidak diredhai-Nya. Khusus buat pemuda-pemudi yang sudah jatuh cinta, Dengarilah kalamku seterusnya istimewa buatmu. Yang masih tak meletakkan nikah sebagai prioriti sekarang, teruskan belajar atau berkerja atau mengejar cita-cita.

Seringkali bila ditanya pada syabab (pemuda) tentang kenapa tak segera berzaujah (menikah), mereka amat risaukan masih tak mempunyai pekerjaan tetap. Sedangkan ada hadis yang menyuruh agar menyegerakan nikah bagi yang sudah bertemu calonnya. Pemuda selalunya bimbang jika tak mampu memberi nafkah kepada bidadarinya dan seluruh isi rumahnya. Faktor ekonomi amatlah membebankan benak mereka. Betul kan ya syabab?

Kerisauan ini lumrah. Ia lahir dari kesedaran bahawa perkahwinan itu bukan suka-suka tapi penuh tanggung-jawab. Sesetengah orang membuat perhitungan hidup secara matematik, contohnya jika seorang memerlukan biaya RM1000 maka dua orang memerlukan RM2000. Hidup sendiripun sukar dibiaya apatah lagi hidup orang lain? Faktor ini membuatkan pemuda takut berkahwin. Gambaran seperti ini semakin memberat apabila hidup dikuasai berhala bernama materialisme. Apatah lagi masyarakat terlalu meletakkan ukuran materialisme dalam menjalani kehidupan. Al-Quran mengecam keyakinan materialisme seperti ini dan menyuruh kita berfikiran optimis. Lihatlah Allah memberi berita gembira berupa kecukupan kehidupan bagi pasangan yang berkahwin:

“Dan nikahkanlah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak nikah di antara hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya, dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” (An-Nur:32)
.

Nah, Allah telahpun memberi jaminan! Jaminan siapa yang lebih patut dipercayai??

Umar Al-Khattab, sahabat agung, pernah berkata sebagaimana dikutip dari al-Qurtubhi:

“Saya sangat takjub dan hairan dengan orang-orang yang tidak mahu menikah kerana takut miskin, dan tidak mahu mencari kekayaan melalui perkahwinan, padahal Allah telah menjaminnya.”

Nabi Muhammad s.a.w. juga memberi gambaran yang praktikal. Dalam sebuah riwayat dari Abu Hurairah r.a.:

“Makanan dua orang dapat mencukupi tiga orang, dan makanan tiga orang dapat mencukupi empat orang.” (HR Bukhori dan Muslim).

Tidak hairanlah Ibnu Mas’ud pernah berkata,

“Carilah kekayaan dan rezeki melalui pernikahan.”


Kemudian beliau membaca firman Allah dalam surah al-Nur, ayat 32. Apalagi, sama-sama hapuskan berhala materialisme dalam hati dan fikiran.

Buat kaum Hawa, yakin dan percayalah pada insan yang telah ditunjukkan Allah dalam istikharahmu walau apapun keadaannya pada masa ini, asalkan baik agamanya. Samada dia masih belajar atau masih bertukar-tukar kerja, percayalah padanya. Buat syabab, rezeki Allah amat luas, jangan dirisaukan sangat. Walaupun sesuatu pekerjaan itu tidak terpandang di sisi masyarakat contohnya bekerja sendiri namun terakam mulia dalam hadis Rasulullah s.a.w. Beliau bersabda:

“Pekerjaan yang terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua penjual beli yang baik.” (HR Ahmad, Baihaqi dan lain-lain).

Jika kerisauan untuk menikah disebabkan faktor orang tua, berbincanglah dengan mereka penuh hikmah. Hati mereka milik Allah, dipegang Allah dan boleh dilunakkan oleh Allah dalam sekelip mata. Ianya menuntut doa, kesungguhan dan keberanian. Orang tua akan cair jua dengan kebaikan kerana merekalah insan yang paling inginkan kebaikan untuk seorang anak.

Percayalah! Jika terubat segala kerisauan dan tertanam kukuh sebuah keyakinan maka laksanakanlah khitbah (pertunangan) . Selama tempoh khitbah, berkongsilah apa yang dirasakan mustahak dan tidak terlalu kerap berhubung untuk menjaga kesucian ikatan. Tempoh itu sesungguhnya amat menguji. Pastikan ikatan itu terjaga dari kelalaian dan segala perbuatan yang menghampiri zina. Laksanakanlah ikatan dengan mana yang paling memudahkan lelaki. Aisyah r.a. menjelaskan,

“Sesungguhnya di antara keberkatan wanita ialah kemudahan peminangannya dan kemudahan maharnya.” (HR. Ahmad).


Oh, kaum Hawa! Tidakkah kamu mahu menjadi wanita yang berkat? Oh, mudah kahwin itu rupanya jika ikut agama! Apa tunggu lagi wahai yang dah berpunya? Pilihlah untuk berkahwin. Takutlah pada Allah melebihi takutmu pada segala persoalan di benakmu. Yakinlah pada Allah. Berdoalah pada-Nya agar dipermudahkan nikah buatmu.

Wahai para pemuda, siapa yang mampu, berkahwinlah! Sesungguhnya ia menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu maka berpuasalah.” (HR Bukhori).


p/s : bersegeralah " mendirikan masjid " kerana ia memberi ketenangan hati.

Sumber: Dipetik daripada www.iluvislam.com

Post a Comment

Ya Allah Ya Tuhan Kami,
Aku Memohon Cinta-Mu,
dan Mencintai Sesiapa
yang Mencintai-Mu dan Mencintai Setiap
Perbuatan yang Mendekatkanku
kepada Cinta-Mu,
Ya Allah Ya Tuhan Kami,
Jadikan Cinta-Mu paling dicintai olehku,
daripada Diriku, Keluargaku,
Hartaku dan Anakku,
Ibarat Orang yang Dahaga
Inginkan Air Sejuk
Apalah pasir yang menjadi kaca? Kaca menjadi cangkir.. Apalah mulut yang minum air? Aku nantikan hujan mawar! Dan tak ingin lagi kehilangan.. . Turunlah hujan mawar! Basahkan bumi saharaku Biar kubermandi seribu warna pelangi Biar kuhapus rindu pelukan... CINTA DUNIAWI..