Cerita Ini Tentang Jodoh


.

Ada satu perkara yang suka aku kongsikan bersama rakan-rakan. Tentu saja tentang cinta.. cinta yang perlu ada pada perkiraanku selepas aku mencintai Allah dan Rasul-Nya.

Kasih yang aku kira perlu aku lempiaskan pada seseorang yang lain selepas ibubapa dan keluarga serta diriku sendiri...

Ya.. cinta pada manusia biasa yang namanya lelaki kerana aku diciptakan sebagai seorang perempuan...

Umur yang semakin berinjak jauh meninggalkan alam remaja dan sekarang di dalam fasa kedewasaan memungkinkan aku berfikir tentang urusan jodoh. Seringkali persoalan itu ditanya kepadaku oleh teman-teman sekuliah dahulu.

"Tak ada buah hati ke?"

"Takkanlah tak ada yang minat dengan perempuan pandai macam kau ni?"

"Kau ni jual mahal sangat kot?"

"Bergayalah sikit, bagi cantik, mesti nanti ada yang terpikat kat kau.."

"Aku sudah, kau bila lagi?"

Aduh... mahu melayan satu-persatu pertanyaan mereka memang tidak terjawab. Paling mudah untuk kukatakan ketika itu,

"Belum jodoh lagi.."

atau aku katakan pada mereka,

"Belum bersedia lagi.. .nanti dah ada calon, akan diberitahu kelak".

Titik.

Berbicara tentang cinta memang tidak akan pernah habis. Semasa di universiti dahulu seringkali aku melihat pasangan yang kononnya sedang 'hangat bercinta' bertengkar atas perkara-perkara yang kecil.

Kadang-kadang aku ketawa sendirian apabila melihat adegan pujuk-memujuk persis lakonan di dalam filem Hindustan yang kutonton di televisyen. Bermacam-macam gaya yang ada apabila si lelaki cuba memujuk si wanita atau si wanita yang cuba memujuk si lelaki. Aku menggeleng-geleng kepala melihat gelagat mereka dalam tawa. Perkara yang padaku tidak wajar dilakukan apatah lagi pasangan itu masih belum punyai ikatan yang sah dan halal di sisi Islam sedangkan si wanita bertudung dan si lelaki bersongkok.

Aku pernah dilamar seorang lelaki pada perkiraanku dapat melengkapi kekurangan yang ada pada diriku. Tentu sahaja aku mencari seorang lelaki yang mudah tersenyum, tegas dalam kelembutan, lucu dan bisa membuatku gembira, dan yang paling penting dia seorang yang sangat menjaga solatnya dan ibadahnya. Cukup padaku itu dan aku telah bertemu dengannya. Tapi, seperti yang kukatakan sebelum ini, cerita ini tentang jodoh...

Arakian, aku dilamar aku menolak dengan lembut atas alasan kerana mahu menumpukan perhatian kepada pelajaran dan kuliah. Ini amanah yang kupegang sejak mula aku menjejakkan kaki ke menara gading. Aku tidak suka berpacaran kerana pada aku ianya tidak wajar.

Kukatakan pada lelaki itu, sekiranya benar dia menginginkan aku menjadi suri hatinya maka tunggulah sehingga aku dan dia selesai bergraduasi. Kukatakan juga bahawa aku tidak suka keluar berdua-duaan. Sekiranya seorang lelaki itu benar mahu memiliki hatiku maka dia perlu memahami bahawa dia perlu lebih serius untuk mengatur masa depannya berbanding berpeleseran tanpa hala tujuan yang jelas.

Hubungan yang dijalin tanpa ada matlamat yang jelas bukanlah satu perhubungan yang bersungguh-sungguh tetapi hubungan yang terang-terangan berlandaskan nafsu semata-mata.

Sekali lagi kukatakan di sini, ianya soal jodoh. Allah punya perancangan yang lebih menarik untukku, terserah padaku sahaja sama ada mahu mencari hikmah yang tersembunyi atau membiarkan diriku sendiri tertanya-tanya mengapa kesudahannya begini dan begitu...

Lelaki itu tidak sanggup menunggu lantas mengambil keputusan mencari yang lain...

Aku sedikit kecewa namun kubisikkan pada hati agar redha dengan ketentuan Ilahi. Dalam melayari kehidupan dan mehnah, aku belajar pelbagai perkara. Setiap hari aku belajar dan adakalanya mengajarkan sesuatu kepada yang lain. Benar, usia yang semakin bertambah membuatkanku berasa gusar kerana masih tidak dipertemukan jodoh.

Hidupku banyak dihabiskan dengan bekerja sebaik sahaja menamatkan pelajaran di universiti. Rakan-rakan lain ramai yang berlumba-lumba mendirikan rumahtangga dan aku masih lagi sendiri. Agak sunyi tapi kutabahkan hati supaya aku tidak menjadi seorang yang terlalu menurut nafsunya.

Tiba saat rezekiku dilebihkan Allah di mana aku diterima bekerja sebagai salah seorang pegawai psikologi. Tidak perlu aku ceritakan dengan tepat di mana aku ditempatkan. Sejak pertama kali aku menjejakkan kaki di sini, tidak pernah terlintas di fikiranku untuk mencari pasangan hidup. Niatku hanya mahu bekerja kerana Allah, mencari rezeki untuk keluargaku agar kami dapat hidup dengan lebih selesa.

Sukacita sekali lagi aku maklumkan, bahawa ini semua urusan jodoh. Jodoh yang tertulis kemas di luh mahfuz, Salah satu rahsia agung yang tersembunyi dari pengetahuan hamba-Nya selain urusan umur, rezeki dan maut.

Salah seorang daripada orang bawahanku yang usianya lima tahun lebih tua dariku dan tentunya seorang lelaki benar-benar membuatkan jiwaku bergetar. Entah kenapa, tapi aku takut ianya melalaikan dan bisa menghumban diriku ke lembah kehinaan. Takut untuk terjerumus di dalam zina hati.

Lelaki itu kerapkali mengujiku dengan pelbagai pertanyaan. Tingkahnya yang kadang-kadang membuatku tertanya-tanya kenapa dia perlu bersikap sedemikian denganku dan tidak dengan perempuan-perempuan yang lain di pejabat. Aku positifkan fikiran, mungkin juga kerana aku adalah orang atasannya dan wajar saja dia menghormatiku lebih daripada yang lain. Mungkin.

Satu hari, dengan izin Allah jua ianya terjadi, ketika sedang enak menjamu selera bersama rakan-rakan sepejabat pada waktu malam, satu rahsia tersingkap. Salah seorang rakan pejabatku bertanyakan sama ada aku sudah punya kekasih hati atau belum. Satu soalan yang kukira agak lucu untuk ditanya. Aku senyum dan menggeleng.

Dia kemudian berkata, ada seseorang yang dekat denganku ingin menjalinkan hubungan yang lebih rapat dan serius. Aku dapat mengagak tapi aku meminta kepastian darinya. Nah! Jelas bahawa lelaki di pejabat yang sama yang kuceritakan sebentar tadi. Tepat telahanku kali ini. Firasatku jarang tersasar apatah lagi jika aku mohon agar Allah membimbingku agar aku tidak menjadi orang yang berprasangka yang tidak baik kepada orang lain.

Hatiku menguntum senyum. Tentu saja rasa suka apabila diri disukai oleh orang lain yang bergelar lelaki. Aku senang sahaja bekerja dengannya. Selalu di dalam doaku di mana aku memohon agar aku dijodohkan dengan seseorang yang baik akhlak dan agamanya, bersederhana dalam segala urusan, dan bonus bagiku sekiranya lelaki itu seorang yang sedap mata memandang...

Lelaki itu juga hingga sekarang masih mengujiku dengan pelbagai pertanyaan. Aku cuma menjawab pertanyaannya sekadar yang kumampu dan hingga saat ini tidak pula dia menyatakan sendiri kepadaku bahawa dia punya 'perasaan' padaku. Aku juga begitu, walaupun setiap kali bertemu jiwaku rasa tenang dan gembira.

Namun cepat-cepat aku sedarkan diri, khuatir kerana dia bukan siapa-siapa denganku malah bukan mahramku yang layak untuk aku fikirkan tentangnya. Aku cuba tidak memandang tepat ke matanya kerana fitrah kewanitaan dan keperempuanan yang malu dan masih menebal dalam diri menjadi perisai iman yang aku takut makin terhakis.

Cuma satu yang ingin kupesan pada rakan-rakan di luar sana yang masih belum punya 'pacar'.

Usah gusar dan khuatir.

Kamu tidak perlu merendahkan martabat diri demi untuk meraih cinta seorang lelaki. Ketahuilah, manisnya dan cantiknya seorang perempuan itu terletak pada taqwanya, hatinya yang sentiasa tunduk malu pada perkara-perkara yang tidak patut.

Aku tidak menyatakan yang aku ini tidak pernah berbuat dosa tapi aku berusaha untuk memperbaiki diri dan cuba mengelakkan diriku daripada tergelincir ke arah itu.

Ingat, jika ada lelaki yang menyatakan dia menyukai kamu, tanyakan kembali apa yang dia mahukan daripadamu. Jika dia sekadar ingin bersuka-suka dan punya pacar persis seperti teman-teman yang lain maka jauhkanlah dirimu daripadanya.

Sekiranya dia benar-benar serius, mahu mengikat tali perkahwinan, punya kedudukan kewangan yang kukuh dan latar belakang keluarga yang menyamankan dan mendamaikan dirimu maka pertimbangkanlah permintaannya untuk menjadikan dirimu itu sebagai suri hidupnya.

Sekadar bercerita tentang jodoh. Sungguh betul, ianya urusan rahsia antara yang tersulit sekali di dalam keterbatasan pengetahuan manusia melainkan dengan izin-Nya.

Harus diingatkan, walaupun ianya urusan Allah, namun kita tidak pula diperintahkan untuk sekadar menanti dan berpeluk tubuh. Proaktif itu perlu. Carilah jodoh dengan cara yang diizinkan dan diredhai Islam atasnya kerana dengan itu moga hubungan kalian nanti juga akan direhai Allah, Insya-Allah.

Sekadar perkongsian rasa dengan rakan-rakanku tentang urusan jodohku yang masih lagi samar. Moga sahaja Allah membantu di dalam urusan yang berkaitan dengannya dan menjauhkan aku daripada melakukan kemaksiatan hati mahupun tingkah perbuatan secara sir (rahsia) mahupun secara jahr (terang-terangan).

Jika benar lelaki itu jodoh yang dikirim Allah untukku meraih cinta yang lebih besar yakni cinta Ilahi maka aku redha.

Aku tidak mahu mengatakan bahawa aku ikhlas menerimanya kerana perkara ikhlas itu milik Allah yang tiada manusia berhak menyatakan bahawa dia ikhlas. Biar Allah sendiri yang menghukumkan tentang itu.

Buat rakan-rakanku yang mungkin sedang mencari jodoh atau telah bertemu jodoh, aku doakan agar kalian memperoleh jodoh sepertimana yang diinginkan olehmu.

Ketahuilah bahawa Allah memberikan apa yang kita perlu dan bukan yang kita suka kerana mungkin saja sesuatu yang kita suka itu akan menjadi satu keburukan suatu hari nanti.

Pasangan kita moga terdiri daripada si dia yang 'melengkapkan' kekurangan yang ada pada diri masing-masing agar kita lebih mudah berjuang meraih cinta-Nya....

Menantikan kalimah cinta daripada insan yang dicinta... moga kami meraih cinta-Nya, amin.


Sumber: iluvislam.com

Doa


.

Artinya: "Ya Tuhanku, janganlah Engkau membiarkan aku hidupku seorang diri, dan Engkaulah pewaris yang paling baik." (QS. Al-Anbiya: 89).


Artinya: "Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi-Mu seorang anak yang baik. Sungguh Engkau Maha Pendengar doa." (Ali 'Imran: 38).

Penjelasan:

Doa di atas baik sekali dibaca oleh orang-orang yang belum mempunyai keturunan dan pasangan hidup. Juga baik sekali dibaca oleh setiap muslim agar diberi keturunan yang shalih.
Kedua ayat diatas merupakan doanya Nabi Zakariya a.s. agar diberi keturunan sebagai pelenjut perjuangannya menegakkan agama Allah. Kisah Nabi Zakaria bisa dilihat dalam Al-Our'an Surah Al-Anbiyak

Do'a Mohon Jodoh dan Keturunan yang Baik

Kehebatan Syurga Berdasarkan Al-Quran


.

Allah menciptakan perkara-perkara yang luar biasa indah dan nikmatnya kepada orang-orang yang bertakwa sehingga menurut Nabi Muhammad s.a.w. di syurga itu terdapat apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata dan didengar oleh telinga serta tidak pernah pula terlintas di hati manusia.

Berikut adalah beberapa ayat Al-Quran tentang kehebatan syurga Allah SWT yang sempat saya kumpul :

"Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa ialah (seperti taman); mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka." (Surah Ar-Ra'd; 35)

"Kedua syurga itu mempunyai pohon-pohonan dan buah-buahan." (Surah Ar-Rahman; 48)

"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang mengalir." (Surah Ar-Rahman; 50)

"Di dalam kedua syurga itu terdapat segala macam buah-buahan yang berpasangan." (Surah Ar-Rahman; 52)

"Mereka bertelekan di atas permadani yang sebelah dalamnya dari sutera. Dan buah-buahan di kedua syurga itu dapat (dipetik) dari dekat." (Surah Ar-Rahman; 54)

"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin." (Surah Ar-Rahman; 56)

"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang memancar." (Surah Ar-Rahman; 66)

"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik." (Surah Ar-Rahman; 70)

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, bagi mereka syurga-syurga yang penuh kenikmatan..." (Surah Luqman, 8)

"Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan mereka. Ucapan penghormatan mereka dalam syurga itu ialah "salam"" (Surah Ibrahim; 23)

"Mereka tidak mendengar perkataan yang tak berguna di dalam syurga, kecuali ucapan salam. Bagi mereka rezeki di syurga itu tiap-tiap pagi dan petang." (Surah Maryam; 62)

"Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid; 21)

"Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta." (Surah Yasin; 57)

"(Bagi mereka) syurga 'Adn mereka masuk ke dalamnya, di dalamnya mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang dari emas, dan dengan mutiara, dan pakaian mereka didalamnya adalah sutera." (Surah Fathir; 33)

"....Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman." (Surah Al-Furqan; 76)

Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami syurga-Mu dengan rahmat dan kasih sayang-Mu. Jadikanlah kami hamba-Mu yang beriman dan bertaqwa. Kami teringin menemui-Mu di syurga. Ampunkahlah dosa-dosa kami.

- Artikel iluvislam.com


Sumber: iluvislam.com

Jihad Perangi Hawa Nafsu


.

Setiap orang memilliki keinginan untuk membuat kejahatan atau lebih dikenali sebagai hawa nafsu. Ini merupakan musuh utama anak adam dari syaitan. Dengan ini kekuatan syaitan terletak pada hawa nafsu. Hawa nafsu selalu mengajak manusia kepada kemungkaran dan jika kita menuruti bisikannya, maka pasti akan binasa.

"Kemudian menggantilah selepas mereka pengganti-pengganti yang mensia-siakan solat, dan mengikuti hawa nafsu (syahwat); maka mereka akan menemui kesalahan." (Surah Maryam, 59)

Sebagian orang bijak berkata, "Barang siapa menyirami anggota badannya dengan hawa nafsu, maka ia menanam pohon penyesalan dalam hatinya." [Imam Al-Ghazali, Mukâsyafah al-Qulûb, h. 17]

Terdapat tiga perkara yang menyelamatkan dan tiga perkara yang membinasakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tiga perkara yang menyelamatkan, iaitu takut pada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah, berjimat cermat ketika susah dan senang, dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri."

Hawa nafsu perlu dilawan tetapi melawannya bukan perkara yang mudah. Maka jihad melawan hawa nafsu lebih utama daripada jihad lain.

Dalam menghadapi pertarungan jiwa ini manusia terbahagi kepada tiga golongan:

1. Golongan yang dapat ditewaskan oleh hawa nafsu mereka. Inilah golongan orang kafir dan orang yang menuruti cara mereka, iaitu orang yang melupakan Allah, lantas Allah melupakan mereka.

2. Golongan yang berjihad melawan dirinya iaitu bertarung memerangi hawa nafsunya. Kadangkala mereka menang dan kadangkala mereka kalah. Apabila mereka tersalah mereka bertaubat dan apabila mereka melakukan dosa mereka menyesal dan memohon ampun daripada Allah.

3. Golongan maksum (terpelihara dari dosa) iaitu para nabi dan rasul. Nabi dan rasul adalah mereka yang dikurniakan keistimewaan oleh Allah sesuai dengan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka sebagai penyampai risalah Allah kepada seluruh manusia.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Orang yang berjihad itu ialah mereka yang berjihad menentang nafsunya. "

Para sahabat nabi ketika pulang dari berperang dengan orang-orang kafir sering berkata, "kami telah kembali dari jihad terkecil menuju ke jihad terbesar!".

Demikian ini disebabkan melawan hawa nafsu dan syaitan berlaku pada setiap masa, sementara berperang dengan orang kafir jarang sekali. Dengan demikian, upaya melawan hawa nafsu adalah sangat mulia bahkan melebihi jihad berperang. Beratnya melawan hawa nafsu itu sendiri diakui oleh para sahabat nabi.

Bahkan Nabi Sulaiman a.s. pun pernah bersabda : "Sungguh, upaya mengalahkan hawa nafsu lebih berat ketimbang menaklukkan sebuah kota!" [Al-Ghazali, Mukasyah al-Qulub, h.15]

Sumber: iluvislam.com

Kehebatan Perkataan 'Tolong' dan 'Terima Kasih'!


.

"Can you press for me level 7... Please," Pinta seorang kiwi (orang New Zealand), semasa kami berada di dalam lif di perpustakaan universiti.

"Sure!" Saya membalas, sambil jari menekan butang di lif.

"Cheers!" Dia membalas.

Dalam satu kejadian lain,

"Excuse me, can you take that for me. Please.." Pinta seorang makcik.

"Which one? This one?" Sambil memegang tin dan menunjukkan kepada makcik yang meminta.

"Yup. Thank you so much, my love!" Oh, hati berbunga, kerana dipanggil 'love'!Sweet lah makcik ni~

Saya bukanlah seorang yang terlalu 'alert', tetapi untuk masa-masa yang tertentu, telinga saya menangkap setiap butir bicara yang dikeluarkan oleh orang sekeliling. Kemudian, saya berfikir dan menilai, lantas belajar tentang erti kehidupan.

*****

Dalam situasi lain, dengan latar masyarakat yang berbeza.

"Mimi, ambil kan buku atas meja," Saya berhenti sekejap. Otak ligat berfikir, memproses ayat yang dikeluarkan oleh rakan sebentar tadi.

Saya diam. Badan bergerak menuju ke arah meja untuk mengambil buku.

"Mimi, buka pintu rumah," Nadanya biasa sahaja. Tiada nada marah, mahupun mengarah. Saya diam. Kad rumah dikeluarkan, pintu dibuka.

Hati memberontak, mahu juga berkata tentang apa yang saya rasa pada kawan sekeliling. Masa senggang yang ada saya ambil untuk membuat perbincangan, dengan harapan sahabat boleh berfikir tentangnya.

"Ijan, perasan tak sesetengah orang ni suka 'memerintah'," Saya memulakan bicara.

"Macam mana?", Dia menyoal untuk mengetahui.

"Kita selalu perasan, kawan-kawan kita jarang nak guna perkataan 'tolong'. Terutama apabila mahukan orang lain membuat sesuatu untuknya. Semua pun nak beri arahan,"

"Kita selalu perasan jugak, kiwi-kiwi kat sini, kalau nak minta tolong daripada orang lain, mesti mereka akan gunakan perkataan, "Please". Kalau tak di awal ayat pun, di akhir ayat mereka pasti akan guna juga perkataan "Please" tu."

Ego kah diri, sebab tak mahu 'diarah'? Bukan. Cuma, merasakan bahawa perkataan yang keluar itu memainkan peranan yang penting dalam menggambarkan si pengeluar perkataan tersebut.

Bukankah tujuannya mahu meminta 'tolong'? Tidak terlalu berat atau susah rasanya untuk menggunakan perkataan 'tolong' tersebut.

Bukankah perkataan 'tolong' itu juga menunjukkan rasa rendah diri. Rendah diri kerana diri sendiri tidak mampu untuk melakukan sesuatu. Jadi, kita bertindak untuk meminta bantuan dan pertolongan daripada orang lain.

Manusia, tiada yang sempurna, malah manusia perlu untuk hidup dalam komuniti supaya setiap kelemahan yang ada di dalam diri individu mampu ditampung oleh individu yang lain.

"Eh, dah lah nak minta tolong orang. Kemudian nak mengarah pula." Detik dia di dalam hati apabila diminta untuk 'tolong' mengambilkan sesuatu. Sedangkan bukanlah dia sedang di'arah' pun, cuma struktur ayat yang keluar menyebabkan dia rasa seperti sedang diarah. Sedangkan, kalau difikir kan pun, tiadalah kawan itu mahu 'mengarah' pun.

Lagi teruk keadaannya apabila permintaan telah dipenuhi, 'terima kasih' tidak dilafazkan.

Terima kasih itu sebagai tanda penghargaan kepada yang telah membantu. Kadang-kadang yang membantu tidaklah mengharapkan sangat perkataan tersebut, tetapi, bukankah itu adab?

Orang berbudi, kita berbahasa..kan?

Tahun lepas banyak turning point kepada diri. Salah satunya adalah insiden yang berlaku semasa perjalanan ke universiti, dengan menaiki bas.

Rakan saya membayar tambang bas kepada pakcik pemandu. Dikatakannya, "University."Seperti biasa, mukanya sentiasa tersenyum, sambil tangan menghulur syiling bernilai NZD1.50. Pakcik tersebut berkata, "Sorry?" Sambil air mukanya berubah. Rakan saya mengulang perkataan yang sama, "University." Pakcik tersebut,"Again?"

Ketika itu saya sudah mulai rasa pelik. Di dalam hati, "Eh, teruk sangat ke slang kitorang sampaikan sebut 'university' pun pakcik tu tak dapat nak identify?"

Rakan saya menyebut lagi, "University." Air mukanya tetap tidak berubah, tetap tersenyum. Kemudian, pakcik itu menyebut, "Rude!" Raut mukanya seperti marah, sambil mengambil duit yang dihulurkan oleh rakan tersebut.

Sepanjang dalam perjalanan ke universiti, kami berfikir, kenapa pakcik tersebut marah? Apa yang kami buat?

Lantas, Allah SWT datangkan pengajarannya. Rakan saya berkata, "Mesti sebab kita tak guna perkataan 'please'.

Kalau tak, takkan lah pakcik tu kata 'rude!' tiba-tiba."

Astaghfirullahal'azim. Saya terdiam, memandang ke luar tingkap, sambil berfikir. Berfikir dan bersyukur diatas tunjuk ajar yang telah diberikan oleh Allah SWT.

Hati terdetik, "Mereka ni ada nilai-nilai baik yang diamalkan dalam kehidupan seharian, bukanlah mereka Islam pun. Tetapi, mereka tahu dan amalkan nilai dan adab."

Allahu akbar~ Terima kasih kepada pakcik pemandu bas yang telah 'mengajar' kami nilai dan adab. Hati terasa lembut, tiada langsung rasa mahu marah kerana perkataan "Rude!" yang dikeluarkan.

Marah tiada, tapi terkejut. Langsung, bersyukur kepada Allah SWT yang mahu kami tahu dan belajar tentang erti hidup. Erti hidup yang sebenarnya perlu kepada adab dan nilai hormat kepada orang sekeliling yang telah memberi khidmat dan bantuan.

Jangan ditinggalkan perkataan 'Tolong' dan 'Terima Kasih' dalam hidup sehari-hari! Hakikatnya, kita lemah. Paling tidak pun, kepada Allah SWT perlu untuk kita meminta!

Manners are not born with us, they are acquired.


Sumber: iluvislam.com

Ya Allah Ya Tuhan Kami,
Aku Memohon Cinta-Mu,
dan Mencintai Sesiapa
yang Mencintai-Mu dan Mencintai Setiap
Perbuatan yang Mendekatkanku
kepada Cinta-Mu,
Ya Allah Ya Tuhan Kami,
Jadikan Cinta-Mu paling dicintai olehku,
daripada Diriku, Keluargaku,
Hartaku dan Anakku,
Ibarat Orang yang Dahaga
Inginkan Air Sejuk
Apalah pasir yang menjadi kaca? Kaca menjadi cangkir.. Apalah mulut yang minum air? Aku nantikan hujan mawar! Dan tak ingin lagi kehilangan.. . Turunlah hujan mawar! Basahkan bumi saharaku Biar kubermandi seribu warna pelangi Biar kuhapus rindu pelukan... CINTA DUNIAWI..