Perdengar al-Quran sejak bayi
.
KEBOLEHAN kanak-kanak comel ini ketika menghafaz surah al-Waqiah ayat 1-96, di hadapan saya serta jurugambar begitu mengujakan kami.
DARWISYA...mewarna antara hobinya di rumah.
BERMAIN...gemar bermain basikal dengan adiknya, Darwish di kaki lima rumah. Walaupun bahasa pertuturannya masih pelat, Darwisya Adriana Rozali yang baru berusia tiga tahun lapan bulan sudah boleh membaca surah al-Waqiah dengan jelas. Ia dialunkan bersama lagu yang kadangkala kuat dan perlahan, begitu menyentuh hati ibarat seorang qariah comel yang sedang memperdengarkan bacaan al-Quran kepada hadirin.
Malah adiknya, Darwish Adrian yang baru berusia dua tahun juga sudah boleh menghafaz surah al-Waqiah walaupun hanya mampu membaca pada hujung ayat.
Menurut ibu kepada dua anak ini, Mazlina Ramli, semua ibu boleh mendapatkan anak seperti Darwisya asalkan mereka tahu cara pembelajaran yang betul serta tidak jemu mengajar dengan penuh kasih sayang serta kesabaran.
Tambahnya, ada yang menyangka dia beruntung dikurnia anak bijak namun Mazlina memberitahu, semua ibu mampu memperoleh anak sehebat Darwisya asalkan mengetahui teknik yang betul mengajar anak.
"Kelahiran Darwisya sama seperti bayi lain, tiada bezanya. Saya tidak mengalami sebarang alahan teruk atau tanda pelik.
"Malah, dia lambat berjalan dan bertutur. Namun sejak usia enam bulan saya sudah mendedahkannya dengan ayat al-Quran daripada cakera padat video (VCD) al-Furqan," katanya.
Setiap pagi selepas bangun tidur sebelum menonton rancangan kartun kegemaran mereka, Mazlina memutarkan bacaan al-Quran terlebih dulu. Ini dilakukan secara berterusan setiap pagi manakala pada waktu malam, dia mengambil masa 30 minit sehingga satu jam untuk mengajar anaknya mengaji Iqra'.
"Ketika mengajar memang Darwisya dan Darwish main-main. Maklumlah kanak-kanak, apabila suka, mereka mengaji apabila bosan mereka meninggalkan saya begitu saja.
"Darwish sering mengganggu kakaknya mengaji sehingga terkoyak muqaddam. Sebagai ibu saya harus bersabar melayan kerenah mereka kerana lambat-laun pengorbanan dan kesabaran saya berbaloi apabila melihat Darwisya menunjukkan kebolehan menghafaz serta membaca al-Quran walaupun usianya belum mencecah empat tahun," katanya.
Menurut Mazlina, pada mulanya dia mahu menghantar anaknya mengaji al-Quran di mana-mana tempat yang menyediakan perkhidmatan itu. Namun tiada seorang pun yang sanggup mengajar Darwisya yang ketika itu baru berusia setahun.
Rata-rata ramai ibu bapa mendedahkan kanak-kanak untuk mula belajar membaca, mengira atau mengaji pada umur empat dan lima tahun. Justeru, ramai ibu bapa menghantar kanak-kanak bersekolah tadika pada usia itu.
"Memang benar kata orang bahawa pendidikan bermula dari rumah. Saya tidak berjumpa lagi sekolah khas yang mengajar bayi baru lahir hingga tiga tahun ke atas. Maka ibu atau bapalah yang perlu menjadi gurunya dan rumah menjadi sekolahnya.
"Saya mula mencari kaedah sesuai mengajar anak bermula daripada lahir sehingga tiga tahun. Setelah saya mencuba dan nampak hasilnya pada anak saya, barulah saya ingin berkongsi dengan semua," katanya.
Tambahnya, otak kanak-kanak sudah sangat bersedia untuk menerima apa-apa pelajaran sejak lahir. Otak mereka pada waktu berkenaan ibarat span yang amat mudah menyerap air.
Mengikut kajian sains, pada umur dua tahun, kapasiti otak kanak-kanak adalah menyamai 80 peratus otak dewasa. Melatih otak menjadi kuat sama caranya dengan melatih otot tubuh menjadi kuat. Jika badan kita mahu kuat dan lebih stamina, perlu rajin membuat latihan, begitu juga dengan otak.
"Tiada had umur paling minimum untuk memulakan latihan ini. Kanak-kanak akan ingat lagu yang ibu mereka dodoikan sebelum mereka tidur pada waktu bayinya dan boleh menyanyikannya semula pada umur mereka dua tahun ke atas.
"Anak saya contohnya, menghafaz surah dengan mudah kerana selalu diperdengarkan surah terbabit semasa dia bayi. Pada umurnya dua tahun lapan bulan, dia sudah menghafaz lapan surah pendek dan pada usia tiga tahun dua bulan, dia sudah boleh menghafaz 30 surah pendek.
"Dia diuji oleh Akademi Darul Huffaz serta mendapat sijil Hafazan 30 Surah Terakhir daripada akademi itu. Tentunya ini satu pencapaian yang amat membanggakan saya," katanya yang mahu Darwisya khatam al-Quran sebelum usianya mencecah empat tahun.
Mazlina memberitahu, membaca dan menghafal adalah dua perkara berbeza. Ia boleh dijalankan serentak. Tidak perlu menunggu sehingga kanak-kanak itu pandai membaca al-Quran untuk mula menghafal.
Sebagai bukti, ramai huffaz (penghafal al-Quran) daripada kalangan orang buta. Bermakna kalau seseorang itu buta huruf atau tidak mengenal huruf, mereka juga boleh menghafal al-Quran.
Mazlina menggunakan set buku dan video cakera padat al- Furqan bermula daripada bayi sehingga kedua-dua anaknya mengenal huruf dan boleh membaca. Setelah set berkenaan habis dibaca, dia menyambung kepada buku Iqra' untuk jilid 1-6, tetapi bermula dengan buku Iqra' 3 dan seterusnya. Untuk hafazan, dia menggunakan kaedah al-Huffaz iaitu buku hafazan untuk satu juzuk dalam satu set.
"Saya mulakan hafazan secara serius apabila anak saya memasuki buku Iqra' 5. Peringkat ini jika dimulakan hafazan amat membantu daripada segi pembelajaran bacaan al -Quran. Untuk membiasakan dengan sebutan yang betul dan tajwid sempurna, saya selalu memperdengarkan pada mereka bacaan al-Quran daripada VCD pada setiap pagi dan Maghrib.
"Dia sendiri akan tahu bacaannya salah jika dia membacanya salah seperti yang berlaku pada anak saya kerana selalu mendengarnya daripada VCD," katanya.
Sebagai ibu, Mazlina juga amat mementingkan makanan untuk anak-anaknya. Setiap kali membelikan makanan dia akan memastikan makanan itu halal dimakan.
Makanan yang terjamin halal adalah wajib untuk penghafaz al-Quran. Jika seorang hafiz tidak boleh menghafal surah baru pada hari itu, dia perlu berfikir mengenai makanan yang dimakan sama ada halal atau tidak.
Antara makanan yang biasa diberikan Mazlina kepada anaknya ialah kacang badam yang sangat terkenal kerana kandungan minyaknya, kismis, minyak ikan, kurma, madu yang kaya dengan fruktosa (gula yang boleh diserap terus ke dalam darah untuk memberi tenaga segera), habbatus sauda, buah tin dan zaitun serta air surah Taha. Semua makanan ini dikisar dan dimakan dua hingga tiga sudu sehari.
"Namun sekali-sekala saya membenarkan mereka makan ais krim serta keropok terpilih saja. Malah makanan segera juga mereka ambil," katanya.
Melihat perkembangan Darwisya yang sudah fasih berbahasa Inggeris dan boleh membaca al-Quran dengan baik, sekarang Mazlina dalam proses mengajar anaknya berbahasa Arab. Ini kerana dengan bertutur bahasa Arab, dia akan lebih mudah memahami ayat al-Quran.
Selain itu seperti ibu bapa lain, Mazlina juga mahu menghantar anaknya mempelajari kelas tertentu seperti kelas berenang, memanah dan kemahiran berfikir.
"Semua ibu mahu memberikan yang terbaik kepada anak-anak mereka, namun sebagai pengajar saya harus lebih mahir dan baik daripada mereka.
Justeru saya juga sedang melengkapkan diri dengan bahasa ketiga itu.
"Saya berharap proses pengajaran untuk kedua-dua anak saya akan berterusan sampai bila-bila dan dengan izin Allah kerana saya tidak mahu proses ini hanya separuh jalan.
"Ini kerana tugas mendidik anak-anak mengenai agama dan ilmu al-Quran adalah tanggungjawab ibu bapa," katanya.
Ibu bapa yang ingin melihat kebolehan Darwisya menghafaz surah al-Waqiah ayat 1-96, boleh menghadiri majlis ulang tahun Pusat Al-Barakah, di alamat Lot 61083, Jalan Pemimpin, Kampung Manjoi, Perak. Majlis ini akan diadakan pada 27 Jun 2010 bermula jam 9 pagi.
Pembaca juga boleh melayari laman sesawang Mazlina bagi mengetahui lebih lanjut mengenai kaedah yang digunakan untuk mengajar Darwisya dan Darwish menerusi http://www.darwishndarwisya.blogspot.com/
Panduan mengajar:
Disiplinkan mengaji sekerap mungkin. Lakukan lima hari seminggu. Biasanya paling awal pada jam 8.30 malam dan paling lambat jam 9.30 malam.
Jangan marah. Selalunya ibu bapa cepat naik angin ketika mengajar anak mengaji.
Sekiranya ingin marah, tarik nafas panjang-panjang dan bertenang. Jika selalu memarahi kanak-kanak ketika mereka mengaji, mereka tidak akan suka mengaji dan susah untuk disuruh mengaji.
Hanya marah jika mereka tidak mahu mengaji.
Puji dan tepuk tangan dengan wajah ceria sekiranya mereka boleh membaca dengan betul.
Beri imbuhan setelah selesai mengikut apa yang dimahukan atau apa yang kita janjikan selepas mengaji.
Sabar serta tidak lupa disiplinkan diri sendiri dan anak untuk mengaji setiap hari. Jangan pula berharap anak akan terus pandai dengan sekali mengajar. Memang sangat mencabar untuk mengajar anak-anak kecil tetapi hasilnya sangat lumayan.
Rajin membacakan surah yang diinginkan untuk hafazan anak sebelum tidur dan selepas bangun tidur. Lama-kelamaan mereka boleh mengikut kita membacanya.
Paling penting, sentiasa berdoa dan bertawakal kepada Allah untuk kebaikan anak-anak. Berdoalah di dalam dan di luar solat.
Berdoa boleh menimbulkan sikap positif pada diri untuk mendisiplinkan diri untuk mengajar mereka. Lebih bagus berdoa ketika kanak-kanak masih kecil dan tidak banyak dosanya.
Ramai yang lalai mendoakan anak dan cuma mula berdoa ketika anak sudah dewasa dan melakukan perkara yang tidak disukai supaya dia boleh berubah. Ketika ini mungkin agak susah walaupun belum terlambat.
Sumber:http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pendidikanbermuladarirumah/Article