Mudahnya Kehidupan
.
oleh : tinta barakah
editor : IskethaykaL
@}---~---{@
Kadang-kadang kita merasakan kehidupan ini menyusahkan, membebankan dan acapkali menyesakkan jiwa. Mengapakah terjadinya hal yang sedemikian? Mungkinkah kerana kita tersasar dari matlamat hidup kita?
Sebagai seorang Islam, cuba kita renungkan, apakah matlamat sebenar kita dilahirkan ke dunia ini? Adakah untuk memenuhi keperluan dan kehendak semata-mata? Sebelum itu mari kita lihat sejenak apa itu keperluan dan kehendak dunia ini.
Keperluan kita sebagai seorang Islam adalah beribadah kepada Allah. Adakah beribadah itu hanya tertumpu kepada rukun Islam yang lima sahaja? Tentu sahaja tidak, rukun Iman, fardhu ain, fardhu kifayah mestilah dilengkapi bagi memenuhi keperluan kita hidup di alam maya ini.
Sekarang, kita perhatikan pula kehendak dunia.
Keperluan dunia memenuhi ruang lingkup nafsu kita. Makanan yang enak, pasangan dan anak pinak, harta dunia dan tidak lupa juga kuasa. Bagaimana kita mahu mengharungi kehidupan dunia dengan menyeimbangkan antara keperluan dan kehendak? Kerana faktor ini, selalu sahaja kehendak mengatasi keperluan. Inilah hakikat yang menyesakkan jiwa dan nafas kita.
Baiklah. Mari kita teliti cadangan di bawah ini. Bagaimanakah caranya untuk merungkai kesesakan jiwa kita ini.
Pertama sekali, tentukan matlamat hidup yang sebenar. Sebagai seorang mukmin, AKHIRAT menjadi matlamat jangkamasa panjang kita semua. Keperluan dunia wajiblah dipenuhi bagi mencapai akhirat. Jika begitu, apakah kita mesti mengenepikan dunia? Tidak, ini amat berat dilakukan kerana dunia merupakan jambatan akhirat. lalu, harus bagaimana menghadapai dunia.
Sila ikuti saranan seterusnya.
Langkah kedua merupakan titik tolak bagaimana kita menghadapi alam fana ini. Kita haruslah meleraikan ikatan kita kepada dunia. Bagaimana caranya? Letakkanlah sahabatku, dunia ini di tangan kita bukannya di hati. Contohnya, kita punya harta yang banyak. Jika harta itu di tangan, kita akan mudah memberi. Jika di hati, hati kita akan mewujudkan perasaan tamak, kedekut, dengki malah iri hati jika harta orang lain lebih banyak daripada harta kita.
Lagi perumpamaan yang mudah. Kita telah sedaya upaya menjaga anak dari kecil hingga dewasa. Didikan agama tidak kurang sedikitpun. Didikan dunia pun kita seimbangkan untuk memudahkan urusan dunianya. Bila dewasa, kita telah hilang di hatinya. Betapa perit hati seorang ibu dan seorang bapa. Mengapa hati kita perit dan sakit? Kerana kita telah mengikat hati kita dengn anak. Sesungguhnya, setelah kita berusaha bersungguh-sungguh, hendaklah kita bertawakal kepada Yang Maha Esa. Bergantunglah kamu kepada Allah swt, bukan kepada anak ya, sahabatku.
Wahai sahabat, mampukah kita meletakkan dunia ini di tangan , tetapi bukan di hati. Berhijrahlah, ini suatu percubaan yang amat berat, susah tetapi amatlah menyenangkan hatimu sekiranya kamu, wahai sahabatku dapat melakukannya. Percayalah, bahawa dalam kesusahan ada kesenangan.
Kamu akan redha dengan apa sahaja takdir yang ditentukan. Kamu akan merasakan betapa mudahnya kehidupan ini. Marilah kita renungkan kata-kata di bawah ini dengan penuh penghayatan.
Jika kamu cinta kepada bunga, bunga akan layu. Jika kamu cinta kepada manusia, manusia akan mati. Cintalah kepada Allah swt, Allah swt akan mencintai kamu selama-lamanya. Tidakkah kamu terfikir bahawa dunia ini hanyalah sementara. Di mana tak satu tempat atau apapun yang kamu boleh gantungkan harapan. Sengaja Allah swt menjadikan ini semua sebagai petunjuk, untuk menunjukkan kepada manusia, hanya Dialah tempat kita bergantung harap kerana Dialah yang kekal abadi.
Sumber: http://www.iluvislam.com/v1//readarticle.php?article_id=2576