Kasih Sayang Rasulullah


.

Seringkali kita mendengar kisah kasih sayang Rasulullah saw, kisah Rasulullah saw di saat akhir kematiannya masih bertanyakan kepada Jibrail tentang umatnya. Nabi tersenyum bila Jibrail berkata bahawa umat Muhammad saw akan dihisab terlebih dahulu daripada umat nabi-nabi yang lain dan kalimat akhir yang keluar dari mulut Nabi adalah " Umatku, Umatku, Umatku." Berikut adalah beberapa kisah berkenaan kasih dan sayang Rasullulah saw terhadap umatnya.


Suasana di Padang Masyhar

Setelah berada di Padang Mahsyar begitu lama dengan segala kepayahan barulah manusia teringat untuk meminta tolong kepada Nabi Adam a.s supaya disegerakan perbicaraan. Selepas 1000 tahun perjalanan, berjumpalah mereka dengan Nabi Adam a.s tetapi Nabi Adam a.s tidak dapat membantu.

Kemudian mereka berjumpa pula dengan Nabi Nuh a.s dengan perjalanan selama 1000 tahun namun Nabi Nuh a.s pun tidak mampu.

Mereka berjumpa pula dengan Nabi Ibrahim a.s dengan perjalanan 1000 tahun juga namun Nabi Ibrahim a.s pun tidak mampu.

Mereka berjumpa Nabi Musa a.s dengan perjalanan 1000 tahun lagi namun Nabi Musa a.s pun tidak mampu.

Mereka berjumpa Nabi Isa a.s dengan perjalanan 1000 tahun lagi namun Nabi Isa a.s pun tidak mampu. Nabi Isa a.s menyuruh mereka berjumpa dengan Nabi Muhammad saw.

Lalu mereka berjumpa Nabi Muhammad saw dengan perjalanan 1000 tahun. Mereka berkata,

"Wahai Nabi Muhammad, engkau adalah Pesuruh ALLAH, penutup para Nabi & Rasul,
berilah pertolongan kepada kami agar kami segera dihisab."


Jawab Nabi Muhammad saw,

"Aku akan tolong kamu semua."

Rasulullah saw pun bangun dan menuju ke Arasy. Kemudian Baginda sujud kepada ALLAH YANG MAHA AGUNG dan GAGAH selama seminggu. ALLAH swt pun berfirman,

"Ya Muhammad, angkatlah kepalamu dan mintalah apa yang engkau mahu minta.
Aku akan kabulkan permintaanmu."


Rasulullah SAW menjawab,

"Wahai Tuhan, ini umatku, segerakan kiraan dan pengadilan ke atas hamba-hamba-MU yg telah sekian lama tertahan di Padang Mahsyar dalam keadaan terhina dan terseksa sekali."

Titian Sirat

Setelah selesai menjalani perbicaraan, mereka menuju pula ke titian yg terentang di atas Neraka Jahanam. Keadaan titian itu lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada mata pedang. Tidak ada seorang pun terlepas daripada melintasi titian itu. Panjang titian itu sejauh perjalanan 3000 tahun, 1000 tahun naik ke atas, 1000 tahun mendatar dan 1000 tahun menurun (1 tahun di akhirat = 365 ribu tahun di dunia). Mereka yang lalu di atasnya berada dalam keadaan senyap sunyi kerana terlalu bimbang dan cemas. Hanya Rasullullah saw yang mengucapkan kalimah,

" Ya ALLAH, selamatkanlah umatku, selamatkanlah umatku, selamatkanlah umatku."

Tingkatan Neraka

Neraka ada 7 tingkat iaitu neraka Hawiah, neraka Jahim, neraka Saqar, neraka Ladza, neraka Hutamah, neraka Sa'ir dan neraka Jahanam. Neraka Jahanam adalah neraka yg teratas sekali, untuk umat Muhammad saw yang sombong dan matinya tidak sempat bertaubat. Apabila Rasulullah saw mendengar Jibrail mengatakan neraka Jahanam untuk umat Rasulullah saw yang sombong, Baginda pengsan. Bila sudah sedar, Baginda bersabda,

"Wahai Jibrail, masih adakah antara umatku yang masuk neraka?

Jibrail menjawab,

"Ya, iaitu mereka yang melakukan dosa-dosa besar dengan sengaja seperti minum arak, judi, zina, riba', hasad dengki, pemarah, gila dunia, gila pangkat dan lain-lain."

Rasulullah saw pun menangis dan Jibrail pun ikut menangis sama.

Adakah kita sayangkan Rasulullah saw sepertimana
sayangnya Rasulullah saw kepada kita?

Sumber: Dipetik daripada www.iluvislam.com

Hari Besar Bakal Menjelma


.

Tarikh ulangtahun bagi peristiwa-peristiwa besar adalah tarikh yang sewajarnya kita raikan dan sambut dengan meriah dan gilang gemilang sebagai tanda gembira, syukur dan pembangkit semangat kita terhadap makna penting daripada sesuatu peristiwa tersebut. Sedar atau tidak, bulan Safar kini sudah melabuhkan tirainya dan bulan Rabi’ulawwal sudah menjelma. Semua umat Islam di serata dunia sudah tentu sedia maklum akan peristiwa terbesar yang berlaku dalam bulan Rabi’ulawwal. Hari tersebut adalah lebih besar daripada ‘Eidulfitri mahupun ‘Eiduladha, yang seringkali kita sambut dengan begitu gilang-gemilang. Tanggal 12 Rabi’ulawwal – lebih 1480 tahun yang lampau – lahirlah seorang manusia agung, kekasih agung, makhluk Tuhan yang paling mulia, yakni tidak lain dan tidak bukan, Rasulullah Muhammad s.a.w. Saat kelahirannya, terpancar cahaya dari perut ibundanya sehingga bercahaya istana-istana di Syam. Seluruh alam damai dan bergembira dengan kelahirannya. Kelahiran baginda adalah kelahiran agung!






Hayatilah syair yang masyhur, yang dikarang oleh seorang ulama ahli hadith dan ahli sejarah, yakni Al-Hafiz Wajihuddin Abu ‘Abdillah Abdul Rahman ibnu ‘Ali Ibni Muhammad ibni Umar As-Syaibani Az-Zabidi As-Syafie yang lebih dikenali dengan gelaran Al-Imam Ad-Daiba’ie. Syair, kata-kata pujian serta selawat yang termaktub dalam karangan masyhur beliau, Maulid Ad-Daiba’ie diiktiraf oleh para ulama dan sudah digunakapakai selama lebih 450 tahun di dalam dunia Islam. Fahamilah bahawa syair-syair ini bukanlah semata-mata karangan yang berasaskan imaginasi pengarangnya; tetapi adalah merupakan pancaran rasa cinta yang begitu mendalam yang berasaskan ilmu pengetahuannya yang luas terhadap hadith-hadith yang begitu banyak serta ma’rifat kurniaan Allah S.W.T. Hayatilah di bawah ini terjemahan bait-bait syair beliau tentang kelahiran Rasulullah s.a.w., yang pasti membangkitkan lagi kecintaan dan kasih umat kepada Baginda Rasulullah s.a.w.



Hadirkanlah hati-hati kalian,
wahai sekalian orang yang mempunyai akal fikiran.
Agar dapat kujelaskan kepada kalian segala sifat yang indah menawan
dan cantik memukau bagaikan pengantin, milik Kekasih Teragung ini.
Yang diistimewakan dengan gelaran termulia (Kekasih Allah).
Yang pernah naik menghadap Allah,
Maharaja Yang Maha Pemberi (di malam Isra’ dan Mi’raj).
Sehingga ia dapat menatap langsung keindahan-Nya
tanpa sebarang tirai penghalang.

Ketika tiba saat kemunculan ‘Matahari Kerasulan’ ini di ‘Langit Keagungan’;
maka keluarlah satu malaikat membawa titah perintah Allah Yang Maha Agung,
kepada Ketua Penghuni Langit, Saidina Jibril a.s.

“Wahai Jibril, serukanlah kepada seluruh makhluk.
Di bumi dan di langit, dengan ucapan-ucapan tahniah dan khabar gembira.
Kerana sesungguhnya,
Nur yang terpelihara, dan Rahsia yang tertutup sekian lama,
yang telah Aku wujudkan sebelum terwujudnya segala sesuatu,
dan sebelum Kuciptakan bumi dan langit.
Pada malam ini,
akan Ku pindahkan ke dalam perut ibunya dalam keadaan riang gembira.
Dengan sebabnya, akan Ku penuhi seluruh alam dengan cahaya.
Ia akan Ku pelihara dan Ku didik
dalam keadaan yatim (tanpa campur tangan ibu bapanya)
dan akan Ku sucikan ia dan ahli keluarganya dengan sesuci-sucinya
(sehingga mereka tidak akan melakukan perkara yang Aku tidak redhai)”


(Setelah Saidina Jibril a.s. menyerukan titah Allah tersebut)
maka ‘Arasy bergoncang hebat kerana merasa sangat gembira.
Kursiy yang teramat hebat itu pula
menjadi semakin hebat dan agung (demi memuliakan Baginda s.a.w.).
Dan tujuh petala langit dipenuhi cahaya (bagaikan sedang berpesta).
Sedangkan suara para malaikat bergemuruh mengucapkan tahlil,
tahmid dan istighfar (lantaran terlalu gembira dengan kedatangan Baginda s.a.w. ke mayapada).

(Sejak awal kehamilan) Bondanya (Sayyidatina Aminah r.anha)
sentiasa melihat pelbagai mimpi dan tanda kemegahan
serta keutamaan bayi dalam rahimnya itu,
sehinggalah usia kandungannya cukup sempurna.
Lalu ketika dirasakan dirinya benar-benar akan melahirkan,
dengan keizinan Tuhan segala makhluk,
maka ia pun melahirkan Al-Habib s.a.w. dalam keadaan sedang sujud,
bersyukur dan memuji Allah,
begitu comel dan indah laksana bulan mengambang penuh.
Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan
dalam keadaan telah berkhatan dengan kekuasaan Allah S.W.T.
Kedua matanya yang mulia bercelak dengan ‘Celak Hidayah’
(terpelihara daripada memandang apa yang tidak diredhai oleh Allah).
Ruang angkasa menjadi terang benderang kerana Nurnya.
Dan alam semesta penuh dengan keindahan
serta bersinar cemerlang kerana Nurnya itu.

Generasi yang tidak menjumpainya, termasuk juga umatnya,
sebagaimana generasi yang telah berlalu sebelumnya.
Kehebatan pertama mukjizatnya adalah terpadamnya api sembahan orang-orang Parsi
(yang tak pernah padam selama seribu tahun).
Beranda-beranda istana Maharaja Parsi tiba-tiba runtuh berjatuhan.
Syaitan-syaitan dihujani dengan panah-panah api bintang
yang panas membakar dari langit.
Semua jin yang sombong dan zalim,
berundur dengan hina dan tunduk kerana serangan dan desakan kuasa Baginda s.a.w.





Begitulah sebahagian kecil daripada syair-syair yang mengisahkan tentang kelahiran Baginda Rasulullah s.a.w. Peristiwa kelahiran Baginda s.a.w. sudah tentu adalah merupakan peristiwa yang terbesar dalam kehidupan kita sebagai umatnya. Dengan kelahirannya, Rahmat Allah S.W.T. tersebar ke serata alam. Dengan sebab kelahiran baginda, maka kita merasai nikmat Islam. Dengan sebab kelahiran baginda, maka kita pada hari ini dapat sujud dan tunduk menyembah kepada Tuhan Yang Maha Agung. Nah, sekarang ini tarikh 12 Rabi’ulawwal semakin hampir dengan kita. Apakah persiapan kita bagi menyambut tarikh yang bersejarah tersebut? Seandainya ulangtahun kelahiran kita, ibubapa kita, adik-beradik kita, rakan-rakan kita, serta orang-orang yang kita sayangi, kita raikan dengan penuh meriah, bagaimanakah sikap kita dalam menyambut ulangtahun kelahiran Rasulullah s.a.w.? Sudah tentu, kita meraikan ulangtahun kelahiran baginda bukanlah sepertimana orang-orang Barat meraikan ulangtahun kelahiran seseorang. Sebaliknya, kita meraikan ulangtahun kelahiran Baginda s.a.w. sebagai manifestasi kecintaan kita yang mendalam terhadap Baginda s.a.w.; kita penuhi dengan selawat, maulid serta pengkisahan tentang sirah Rasulullah s.a.w. Mencintai Rasulullah s.a.w. adalah merupakan kewajipan terhadap kita selaku umat Baginda s.a.w. Malah, dengan sebab kecintaan kita terhadap Baginda s.a.w. (yang benar-benar tulus) itulah yang akan mampu menyampaikan kita kepada keredhaan Allah S.W.T., serta kedudukan yang mulia di akhirat yang kekal abadi kelak.

Daripada Sayyidina Ali r.a., bahawa Nabi s.a.w. mencapai tangan Hasan r.a. dan Husin r.a., lalu bersabda (yang lebih kurang maksudnya):

“Sesiapa yang mengasihiku dengan mengasihi kedua-dua (cucuku ini) serta kedua ibu bapa mereka (Sayyiduna Ali dan Fatimah r.a.), maka mereka akan bersamaku di dalam kedudukanku pada hari Kiamat.” (Hadith riwayat Imam Ahmad dan Tirmidzi, hadith Hasan)


Dalam keadaan umat pada hari ini kegersangan pedoman dan panduan sehingga mengalami kecelaruan nilai dan kehilangan adab, adalah sangat perlu untuk kita mengembalikan ‘roh’ dan ‘contoh’ Baginda Rasulullah s.a.w. ke dalam kehidupan umat. Betapa umat pada hari ini sudah terlalu jauh daripada kecintaan terhadap Rasulullah s.a.w.; biarpun lidah-lidah dan bibir-bibir menuturkannya, tetapi hakikatnya di dalam benak hati masih lagi mencintai banyak perkara lain lebih daripada kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya. Justeru, apakah perancangan anda untuk menyambut Maulidurrasul pada 12 Rabi’ulawwal ini? Wallahu’alam.




Sumber: Dipetik daripada www.iluvislam.com

Seruan buat Si Belangkas


.

Menyorot dahsyatnya mitos cinta meracuni pemikiran generasi muda hari ini, pelbagai maksiat menular di sana-sini. Pemuda meratah dara sesuka hati. Gadis hilang harga diri. Anak pungut merata-riti. Ah, sekotor inikah cinta anak muda? Tidak!

Cinta itu tidak kotor bahkan suci sekudus embun pagi. Tangan manusialah yang mengotorinya. Aduhai pemuda-pemudi yang sedang hangat bercinta! Bukankah Allah menyediakan jalan halal buat menyuburkan cinta yang sedang mekar antaramu dengan si dia? Kenapa tidak nikah saja? Boleh khalwat lama-lama.

“Ingat nikah tu senang?!” Mungkin ini persoalannya. Mungkin ini yang membelenggu pemikiran anak muda yang sedang bercinta. Samada jawapannya senang atau susah, setiap pasangan yang sudah jatuh hati perlu ada niat untuk memilih jalan halal lagi diberkati ini. Niat yang bersih berperanan mengawal diri agar terhindar dari lembah zina terkutuk dan segala perkara yang menghampirinya. Apa yang dinamakan cinta lelaki dan perempuan asing hanya boleh dinikmati selepas berumah-tangga. Ingat tu!

Kunasihatkan diriku jua dirimu hai muda-mudi, Dalam urusan jodoh, apapun keputusan buatlah sebagaimana yang dianjurkan oleh syarak dengan jalan istikharah dan musyawarah (berbincang) . Andai di sana nampak keserasian, usah terlalu fikirkan masalah, berfikirlah dengan optimis. Ambil langkah yang diizinkan Allah seterusnya iaitu dengan berkhitbah (bertunang) dan saling setia pada janji syarak yang di bina.

Awas! Hindari segala perkara yang menghampiri zina lagi tidak diredhai-Nya. Khusus buat pemuda-pemudi yang sudah jatuh cinta, Dengarilah kalamku seterusnya istimewa buatmu. Yang masih tak meletakkan nikah sebagai prioriti sekarang, teruskan belajar atau berkerja atau mengejar cita-cita.

Seringkali bila ditanya pada syabab (pemuda) tentang kenapa tak segera berzaujah (menikah), mereka amat risaukan masih tak mempunyai pekerjaan tetap. Sedangkan ada hadis yang menyuruh agar menyegerakan nikah bagi yang sudah bertemu calonnya. Pemuda selalunya bimbang jika tak mampu memberi nafkah kepada bidadarinya dan seluruh isi rumahnya. Faktor ekonomi amatlah membebankan benak mereka. Betul kan ya syabab?

Kerisauan ini lumrah. Ia lahir dari kesedaran bahawa perkahwinan itu bukan suka-suka tapi penuh tanggung-jawab. Sesetengah orang membuat perhitungan hidup secara matematik, contohnya jika seorang memerlukan biaya RM1000 maka dua orang memerlukan RM2000. Hidup sendiripun sukar dibiaya apatah lagi hidup orang lain? Faktor ini membuatkan pemuda takut berkahwin. Gambaran seperti ini semakin memberat apabila hidup dikuasai berhala bernama materialisme. Apatah lagi masyarakat terlalu meletakkan ukuran materialisme dalam menjalani kehidupan. Al-Quran mengecam keyakinan materialisme seperti ini dan menyuruh kita berfikiran optimis. Lihatlah Allah memberi berita gembira berupa kecukupan kehidupan bagi pasangan yang berkahwin:

“Dan nikahkanlah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak nikah di antara hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya, dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” (An-Nur:32)
.

Nah, Allah telahpun memberi jaminan! Jaminan siapa yang lebih patut dipercayai??

Umar Al-Khattab, sahabat agung, pernah berkata sebagaimana dikutip dari al-Qurtubhi:

“Saya sangat takjub dan hairan dengan orang-orang yang tidak mahu menikah kerana takut miskin, dan tidak mahu mencari kekayaan melalui perkahwinan, padahal Allah telah menjaminnya.”

Nabi Muhammad s.a.w. juga memberi gambaran yang praktikal. Dalam sebuah riwayat dari Abu Hurairah r.a.:

“Makanan dua orang dapat mencukupi tiga orang, dan makanan tiga orang dapat mencukupi empat orang.” (HR Bukhori dan Muslim).

Tidak hairanlah Ibnu Mas’ud pernah berkata,

“Carilah kekayaan dan rezeki melalui pernikahan.”


Kemudian beliau membaca firman Allah dalam surah al-Nur, ayat 32. Apalagi, sama-sama hapuskan berhala materialisme dalam hati dan fikiran.

Buat kaum Hawa, yakin dan percayalah pada insan yang telah ditunjukkan Allah dalam istikharahmu walau apapun keadaannya pada masa ini, asalkan baik agamanya. Samada dia masih belajar atau masih bertukar-tukar kerja, percayalah padanya. Buat syabab, rezeki Allah amat luas, jangan dirisaukan sangat. Walaupun sesuatu pekerjaan itu tidak terpandang di sisi masyarakat contohnya bekerja sendiri namun terakam mulia dalam hadis Rasulullah s.a.w. Beliau bersabda:

“Pekerjaan yang terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua penjual beli yang baik.” (HR Ahmad, Baihaqi dan lain-lain).

Jika kerisauan untuk menikah disebabkan faktor orang tua, berbincanglah dengan mereka penuh hikmah. Hati mereka milik Allah, dipegang Allah dan boleh dilunakkan oleh Allah dalam sekelip mata. Ianya menuntut doa, kesungguhan dan keberanian. Orang tua akan cair jua dengan kebaikan kerana merekalah insan yang paling inginkan kebaikan untuk seorang anak.

Percayalah! Jika terubat segala kerisauan dan tertanam kukuh sebuah keyakinan maka laksanakanlah khitbah (pertunangan) . Selama tempoh khitbah, berkongsilah apa yang dirasakan mustahak dan tidak terlalu kerap berhubung untuk menjaga kesucian ikatan. Tempoh itu sesungguhnya amat menguji. Pastikan ikatan itu terjaga dari kelalaian dan segala perbuatan yang menghampiri zina. Laksanakanlah ikatan dengan mana yang paling memudahkan lelaki. Aisyah r.a. menjelaskan,

“Sesungguhnya di antara keberkatan wanita ialah kemudahan peminangannya dan kemudahan maharnya.” (HR. Ahmad).


Oh, kaum Hawa! Tidakkah kamu mahu menjadi wanita yang berkat? Oh, mudah kahwin itu rupanya jika ikut agama! Apa tunggu lagi wahai yang dah berpunya? Pilihlah untuk berkahwin. Takutlah pada Allah melebihi takutmu pada segala persoalan di benakmu. Yakinlah pada Allah. Berdoalah pada-Nya agar dipermudahkan nikah buatmu.

Wahai para pemuda, siapa yang mampu, berkahwinlah! Sesungguhnya ia menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu maka berpuasalah.” (HR Bukhori).


p/s : bersegeralah " mendirikan masjid " kerana ia memberi ketenangan hati.

Sumber: Dipetik daripada www.iluvislam.com

Nikah Muda dan Bahagia


.

Begitu saja aku dengari suatu ayat-ayat Al Quran yang membuatkan aku tersentak!




Dan nikahkanlah orang-orang yang masih membujang di kalangan kamu dan juga orang-orang yang layak menikah dikalangan hamba sahaya kamu laki-laki dan perempuan, jika mereka miskin Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurniaannya.Dan Allah maha Luas (Pemberiannya),lagi Maha Mengetahui (QS Annur :32)

Merupakan suatu perintah Allah agar segera menikahkan orang-orang yang masih bujang di kalangan kita.Bahkan seandainya kita termasuk golongan yang tidak mampu, jangan bimbang Allah swt sendiri akan memampukan kita.

Andai kita belum yakin dengan ayat Allah SWT perkataan apa lagi di dunia ini yang dapat menjadikan kita yakin terhadap sesuatu? Bah kan Rasullulah juga bersabda yang bermaksud:

Carilah oleh kalian rezeki dalam pernikahan (dalam kehidupan berkeluarga)
(Hadith riwayat Imam Ad Dhalani) dalam Musnad Al Firdaus

Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah bersabda, 3 golongan yang akan selalu di beri pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah swt ,seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya(Hadith riwayat Thabrani) dikeluarkan oleh Ibnu Abi Hatim, dari Ad Dur Al Mantsur.

Abu Bakar As Siddiq pernah berkata Taatlah kamu kepada Allah dalam apa yang diperintahkan kepadamu iaitu perkahwinan,maka Allah akan melestarikan janjiNYA kepadamu iaitu kekayaan".

Allah telah berfirman “Jika mereka miskin Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurniaannya(QS Annur:32)

Apa lagi alasan mereka yang telah diberi kesihatan tubuh badan ,keinginan yang kuat untuk bersama pasangan dan mempercayai Allah sebagai tuhan(ialah) untuk mengatakan diri ini belum memilih nikah sebagai jalan? Andai membujang itu suatu pilihan yang diberikan kepada mereka yang beriman.Maka ia adalah sesuatu yang dikategorikan sebagai kehinaan.

Rasullah bersabda lagi,Hadith Saad bin Abi Waqas berkata :
Rasullulah saw melarang Uthman bin Mazun dari membujang,seandainya baginda merestuinya,pasti kami akan membujang" (Sahih Muslim)

Sabda baginda lagi: dari Anas ra, Rasullulah Al Ma’shum bersabda,
Barangsiapa mempunyai anak perempuan yang telah mencapai umur 12tahun,lalu ia tidak segerakan mengahwinkannya kemudian anak perempuan tersebut melakukan dosanya di tanggung oleh ayahnya". (Hadith riwayat Baihaqi)

Ibnu Ma’ud pernah mengatakan, "Seandai tinggal sepuluh hari sahaja dari usiaku ,niscaya aku tetap ingin kahwin agar aku tidak menghadap Allah dalam keadaan masih bujang"

Sahabat-sahabat sekalian,seandainya mahu merenung akan hadith-hadith ini,maka apa lagi yang dinanti,berusahalah sedaya upaya kita untuk menikah.Kerana hadith yang menyuruh bernikah berbunyi:

Abdullah bin Mas’ud ra: diriwayatkan dari Al Qamah ra katanya:
"Aku berjalan-jalan di Mina bersama Abdullah ra yang kemudian menghampiri Abdullah ra. Setelah berbincang beberapa ketika,Othman ra bertanya,wahai abu abdul rahman;mahukah aku jodhohkan kamu dengan seorang perempuan muda? Mudah mudahan perempuan itu akan dapat mengigatkan kembali masa lampau mu yang indah"

Mendengar tawaran itu Abdullah ra menjawab;

"Apa yang kamu ucapkan itu adalah sejajar dengan apa yang pernah di sabdakan oleh rasullulah saw kepada kami "

"Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin,sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan.maka sesiapa yang tidak berkemampuan,hendaklah dia berpuasa kerana puas itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu"
(Hadith riwayat Muslim)


Seandainya kita telah berusaha sedaya upaya,serahkanlah semuanya pada Allah.Dialah yang memberi rezeki.Bukanlah orang itu termasuk dalam golongan tidak mampu,seandainya dia terus membiarkan dirinya saja,tidak berbuat apa-apa lalu apabila ditanyakan kepadanya lalu dia menjawab TIDAK MAMPU.Akan tetapi seorang yang tidak mampu adalah mereka yang telah berusaha sekuat hati ,namun hasilnya tetap di tahan oleh Allah SWT sebagai ujian untuk dirinya.

Seorang saudara mengadukan dirinya yang masih kurang iman kepada sahabatnya,
"Saya rasa masih tidak kuat lagi untuk menikah” .

Jawab sahabatnya,
"Justeru kerana kamu masih belum kuat imanlah kamu harus menyegerakan nikah, kan nikah itu menyempurnakan separuh dari agama ?"

Lantas di sebabkan iman kita yang kurang inilah kita harus segera bernikah.Bagaimana kalian sahabat-sahabat ku?
Luruskan niatmu , jangan bernikah kerana keSERONOKan di dalamnya,jangan pula kerana orang mengatakannya BAIK atau apa sebab lain pun selain dari
Aku nikah kerana ALLAH dan RASUL SURUH !

Dan carilah pernikahan yang barakah.Zainab bin Jashyi dan Zaid bin Harithah yang cukup kuat iman mereka pun bercerai akhirnya.Zaid anak angkat Nabi,kekasih nabi,panglima perang ,manakala Zainab,ummul mukminin, satu figura yang tidak mungkin ada kelemahan dari imannya, mungkihkah lagi keimanan mereka diragukan.Lantas sahabat semua serahkan segalanya pada Allah SWT.

Bahagia bukan terletak pada kesenangan hidup,banyaknya harta,indahnya pasangan dan sebagainya.Bahagia itu terletak pada, firman Allah


Dan diantara tanda-tanda(kebesaran)Nya ilah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri,agar kamu cenderung dan berasa temteram kepadanya.Dan menjadikan diantaramu rasa kasih dan sayang”. (QS anRuum:21)

Sumber: Dipetik daripada www.iluvislam.com

Shicida Methods - Jadikan Anak Anda Pandai


.

BANYAK cara untuk mendidik personaliti anak-anak. Ada menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan semata-mata mahu memberikan yang terbaik buat anak-anak.Salah satu teknik yang mula di pratikkan di Malaysia ialah SHICIDA METHODS , iaitu kaedah mendidik anak-anak berfikir menggunakan otak kanan yang diajar oleh orang Jepun.Ini kerana otak sebelah kanan lebih efektif berbanding otak kiri tetapi ia perlu dipraktikkan dengan lebih kerap untuk mengaktifkan penggunaannya. Kelas SHICIDA METHODS ada ditawarkan di sesetengah tempat disini,namun kosnya agak mahal berbanding kelas-kelas lain,malah tidak ramai ibu bapa khususnya orang Melayu mampu menghantar anak-anak mereka ke kelas sebegini.Disini disertakan serba sedikit kaedah SHICIDA METHODS untuk dipraktikkan oleh ibu bapa dalam membesarkan anak-anak.Kaedah ini boleh Nampak kesannya dalam masa seminggu ia di pratikkan,namun bergantung kepada kebolehan dan keupayaan otak anak-anak anda menerimanya :


1) Sewaktu anak hendak tidur atau tidur-tidur ayam,cakap padanya dengan sepenuh hati dan sejujurnya yang kita sayang kat dia,dia budak baik,dia anak soleh,dia budak kuat,dia budak pandai dan sebagainya sebab sewaktu tidur-tidur ayam itulah otak kanannya sedang bekerja manakala otak kiri sudah tidur.Tapi kena buat dengan seikhlas hati sebab kalau dalam keadaan marah,ia tidak menjadi.Kalau mereka sudah tidur,cuba ramas-ramas jari atau tangan dia atau picit-picitkan badannya supaya dia kembali dalam keadaan tidur-tidur ayam.Cuba pratikkan pada anak anda khususnya bagi mereka yang liat bangun pagi.Insya-Allah menjadi.

2) Mula guna kad untuk ajar anak anda.Ada peserta yang ajar ABC-Z guna kad dalam masa seminggu sahaja,lepas tu mereka sudah kenal semua huruf dan boleh eja perkataan yang pendek-pendek. Buat atau beli kad banyak-banyak dan tunjuk pada mereka cepat-cepat seperti a…..b….c….d . Insya-Allah mereka cepat tangkap sebab bila kita tunjuk laju-laju otak kanan dia akan bekerja keras untuk tangkap apa benda yang ditunjuk.Boleh juga buat atau beli kad 1,2,3 atau gambar-gambar tertentu .

3) Gerak kerja tangan adalah hasil dari otak kanan,jadi cuba ajar anak anda main tanah liat,main cat air ( water colour ) ,melukis,gunting kertas,origami dan sebagainya.Memang agak leceh dan kena kemas semula,tapi untuk kebaikan anak-anak apa salahnya berkorban sikit.Satu lagi cuba lukis gambar,contohnya rama-rama,tapi hanya sebelah badannya sahaja dan suruh anak-anak sambung lukis ikut apa yang anda lukis dibahagian satu lagi.Ini pun dapat mengaktifkan penggunaan otak kanan.Tahukah anda kenapa orang Cina dan Jepun kebanyakkannya pandai-pandai ? Ini kerana mereka makan menggunakan kayu penyepit.Kayu penyepit mengaktifkan kerja tangan sekaligus membantu menggerakkan otak kanan.

4) Jangan marah-marah atau tengking anak sebab mereka boleh simpan semuanya dalam otak kiri.Kalau tanpa sengaja marah atau menengking mereka,kembali semula ke cara pertama dan minta maaf pada mereka dengan ikhlas.

5) Cuba bina daya imaginasi mereka dengan cara bercerita dan kemudian suruh mereka menyambung semula cerita tersebut.Walaupun cerita itu merapu pun tidak mengapa asalkan mereka punya inisiatif untuk berimaginasi .

6) Main teka-teki dengan mereka. Letakkan satu barang dalam kotak dan kemudian suruh mereka teka apakah barang tersebut.Untuk permulaan,berikan mereka pilihan untuk menggambarkan jenis barang dalam kotak terbabit seperti memberitahu warna,bunyi dan sebagainya.Lama- kelamaan mereka boleh bangunkan deria keenam ( Sixth Sense ) dengan menumpukan perhatian kepada benda yang berada dalam kotak terbabit.Ini semua adalah untuk mengaktifkan otak sebelah kanan.Tapi ingat semua permainan yang hendak dilakukan itu hanya boleh dilakukan selama setengah jam sehari.Tidak perlu lama-lama kerana ia boleh menimbulkan rasa bosan.

Sebelum lakukan semua kaedah ini,pastikan anda mempunyai masa yang benar-benar cukup.Pendekatan ini memerlukan keikhlasan dan kesunggguhan. Dalam Islam sendiri pun menggalakkan ibu bapa bercakap dengan anak-anak ketika mereka mahu tidur kerana pada ketika itulah di antara waktu-waktu doa dimakbulkan. Seorang Kaunselor juga memberitahu, jangan suka menyebut JANGAN pada anak-anak kerana apa yang kita sebut itulah yang mereka ikut .Cuba ganti perkataan JANGAN dengan perkataan lain untuk menyampaikan maksud anda,misalnya – “ Tolong senyap Along ” berbanding “ Along Jangan bising ” .

Sumber: Dipetik daripada www.iluvislam.com

Ya Allah Ya Tuhan Kami,
Aku Memohon Cinta-Mu,
dan Mencintai Sesiapa
yang Mencintai-Mu dan Mencintai Setiap
Perbuatan yang Mendekatkanku
kepada Cinta-Mu,
Ya Allah Ya Tuhan Kami,
Jadikan Cinta-Mu paling dicintai olehku,
daripada Diriku, Keluargaku,
Hartaku dan Anakku,
Ibarat Orang yang Dahaga
Inginkan Air Sejuk
Apalah pasir yang menjadi kaca? Kaca menjadi cangkir.. Apalah mulut yang minum air? Aku nantikan hujan mawar! Dan tak ingin lagi kehilangan.. . Turunlah hujan mawar! Basahkan bumi saharaku Biar kubermandi seribu warna pelangi Biar kuhapus rindu pelukan... CINTA DUNIAWI..